Ahlan Wasahlan

Bersama-sama menuju ke arah yang lebih baik dari hari semalam....

Sunday, January 31, 2010

Ikuti panduan untuk berjaya

PEPERIKSAAN Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru saja berakhir. Kini peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal tiba. Apa yang pasti, setiap remaja yang akan menduduki peperiksaan berkenaan mahukan keputusan terbaik.

Sememangnya peperiksaan satu kaedah penilaian untuk mengukur pencapaian akademik atau kemahiran seseorang pelajar. Sekiranya keputusan diperoleh amat memberangsangkan, ini menjadi titik permulaan untuk mendapatkan kejayaan seterusnya di samping beberapa peluang keemasan yang turut tersedia di hadapan.

Bagaimanapun, semakin dekat tarikh peperiksaan, semakin tinggi pula rasa bimbang dan takut. Situasi ini biasa bagi remaja yang bakal menduduki peperiksaan, tetapi jika tekanan itu berlarutan sehingga anda jatuh sakit, ia tidak boleh dibiarkan.

Panduan di bawah ini mungkin boleh membantu anda untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan yang bakal dihadapi dan pada masa sama, menghindar tekanan dan perasaan bimbang.

- Jangan biarkan masalah peribadi mengganggu anda

Jika ada masalah di rumah atau teman, jangan fikirkannya kerana ia boleh mengganggu tumpuan anda. Asingkan masalah belajar dengan masalah peribadi supaya anda boleh menghadapi peperiksaan dengan tenang.

- Baiki kelemahan

Kelemahan dan kesilapan dalam sesuatu mata pelajaran perlu dibaiki supaya ia tidak berulang ketika menjawab soalan peperiksaan. Ia juga dapat membantu anda menjadi lebih yakin.

- Kurangkan aktiviti santai

Jika kebiasaannya anda sering menonton televisyen, bermain permainan video atau melayari internet, lupakan ia sebentar ketika peperiksaan semakin hampir. Jika ada kawan-kawan yang cuba mempengaruhi untuk turut sama dalam aktiviti ini, anda perlu berani mengatakan tidak.

- Jangan memberi tekanan kepada diri

Anda perlu tenang apabila menghadapi peperiksaan. Kawal diri agar tidak terlalu memikirkan mengenainya sehingga menjadikan anda panik dan menyebabkan segala-galanya tidak terurus.

- Pastikan kesihatan berada pada tahap terbaik

Pastikan anda mendapat tidur dan rehat secukupnya serta amalkan pemakanan sihat. Selain itu anda dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dalam sebarang aktiviti lasak yang mempunyai risiko kecederaan tinggi.

- Dapatkan sokongan keluarga

Sokongan, kerjasama serta perangsang daripada ahli keluarga amat penting untuk membantu anda belajar dengan baik dan berjaya dalam peperiksaan.

Tip menghilangkan rasa panik ketika menduduki peperiksaan

- Berhenti sebentar dan duduk dalam keadaan tegak serta tenangkan fikiran.

- Jangan fikirkan kemampuan orang lain dan hanya fikirkan mengenai kemampuan anda untuk melakukan yang terbaik.

- Sekiranya gagal menjawab soalan yang dihadapi, jawab soalan lain yang lebih mudah. Ia boleh mengurangkan tekanan anda.

- Berdoa kepada Tuhan supaya anda dikurniakan ketenangan

Apa sebenarnya meroyan

MENGIKUT orang tua-tua dulu, ketika dalam pantang, wanita tidak dibenarkan melakukan sebarang kerja. Larangan ini ada rasionalnya kerana ia sebenarnya memberi peluang wanita mendapat rehat secukupnya selepas melahirkan anak.

Kehamilan adalah khabar gembira, tetapi mungkin ramai tidak tahu atau tidak sedar ia sebenarnya memberi tekanan fizikal dan mental kepada wanita yang mengalami masalah loya dan muntah, terutama jika ia tidak dirancang dan bukan kehamilan yang diharapkan.

Perkara ini boleh menyebabkan sesetengah wanita mengalami masalah tekanan, kesedihan melampau dan kemurungan selepas melahirkan anak.

Dalam keadaan tertentu, gangguan fikiran dan emosi dihadapi menyebabkan sesetengah ibu tidak dibenarkan menjaga bayi mereka.

Bagi masyarakat kita, ia dipanggil meroyan atau kemurungan postpartum yang berlaku selepas melahirkan anak.

Menurut perunding psikiatri, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, walaupun zaman sudah berubah, masalah ini tetap berlaku kepada semua bangsa.

Prevalens kemurungan postpartum adalah satu atau dua kes bagi 1,000 kelahiran. Dalam budaya kita, wanita dalam pantang diberi perhatian dan layanan istimewa daripada suami dan keluarga.

Ini adalah budaya yang baik kerana ia boleh mengurangkan risiko wanita mengalami kemurungan selepas bersalin.

Kemurungan postpartum atau meroyan juga boleh berlaku apabila wanita mengalami keguguran, bayi meninggal dunia ketika dilahirkan atau bayi dijadikan anak angkat.

Ia adalah masalah yang serius dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan ibu hilang pertimbangan diri.

Kenapa ia hanya berlaku pada sesetengah orang? Kata Dr Nor Hamidah, ia juga dipengaruhi daya ketahanan mental seseorang. Bagi yang ‘tahan lasak’ dan reda dengan takdir serta menganggap setiap kehamilan (walaupun tidak dirancang) sebagai rezeki, risiko mengalami masalah ini jauh lebih rendah.

Banyak punca boleh menyebabkan masalah ini seperti:
Pernah mengalami kemurungan, sama ada pada diri sendiri atau ahli keluarga (termasuk skizofrenia).
_ _
Perubahan hormon yang banyak (perubahan hormon mendadak boleh merangsang kemurungan).
_ _
Pertambahan tanggungjawab.
_ _
Tekanan.
_ _
Kurang sokongan keluarga.
_ _
Gangguan psiko sosial seperti masalah perkahwinan atau pergaduhan.
_ _
Tidak cukup tidur kerana terpaksa bangun malam untuk menyusukan anak.
_ _
Melahirkan anak yang tidak dikehendaki.
_ _
Kekecewaan akibat terlalu inginkan anak lelaki, tetapi dianugerahkan anak perempuan (atau sebaliknya).

Bagaimana hendak mengenali jika isteri atau ahli keluarga mengalami masalah ini? Antara simptom meroyan ialah:

Terlalu lesu.
Hilang kegembiraan untuk menjalani hidup.
Tidak boleh tidur malam (insomnia).

Sedih keterlaluan

Menangis tanpa sebab.

Resah gelisah

Berasa diri tidak berharga

Sentiasa berasa bersalah

Emosi mudah terganggu

Hilang selera

Tidak boleh menumpukan perhatian.

Bagi kes lebih serius yang dipanggil postpartum psikosis, wanita mungkin:

Hilang pertimbangan

Berasa benci kepada anak

Mengalami delusi (percaya kepada perkara yang tidak benar seperti menganggap diri sebagai orang terkenal)

Mengalami halusinasi (mendengar suara ghaib)

Terlintas mahu membunuh diri

“Kemurungan postpartum biasanya berlaku selepas beberapa hari melahirkan anak dan ia berlanjutan sehingga melebihi dua minggu. Wanita yang mempunyai sejarah kemurungan berisiko tinggi untuk mengalami masalah ini.

“Biasanya ia berlaku pada wanita yang pernah mengalami masalah kemurungan. Jika seseorang wanita mengalami kemurungan postpartum pada kehamilan pertama, dia berisiko tinggi mengalami masalah sama pada kehamilan seterusnya dengan kebarangkalian sebanyak 25 peratus.

“Bagi kes begini, ia dikelaskan sebagai kehamilan berisiko tinggi dan keadaan mereka dipantau sepanjang kehamilan dan selepas melahirkan anak. Bagaimanapun, jangan keliru dengan kesedihan selepas bersalin atau dipanggil ‘baby blues’. Si ibu akan berasa sedih tanpa sebarang sebab, tetapi masalah ini tidak lama dan hilang selepas lima atau tujuh hari,” katanya.

Hampir 50 peratus wanita mengalami masalah ‘baby blues’. Ia masalah biasa dan tidak perlu dirisaukan. Ada yang mengalaminya pada kelahiran pertama saja. Antara gejalanya ialah rasa tertekan, sedikit murung, sedih, mudah menangis, berasa terlalu terharu tanpa sebab dan emosi cepat berubah.

Semua gejala ini timbul akibat perubahan hormon yang banyak selepas bersalin dan akan hilang beransur-ansur apabila paras hormon kembali normal.

Bagaimanapun jika kemurungan ini berlanjutan melebihi dua minggu, suami atau ahli keluarga disaran segera membawa isteri mendapatkan rawatan.

“Dalam keadaan seperti ini, sokongan ahli keluarga, terutama suami, sangat penting. Suami perlu beri kerjasama menjaga anak, seperti bangun malam atau membantu menukar lampin, supaya isteri boleh mendapat tidur yang cukup.

“Kurang sokongan daripada suami dan ahli keluarga boleh menyebabkan wanita mengalami kemurungan. Apabila ini berlaku dan tidak dibantu segera, masalah jadi lebih berat kerana pesakit tidak dapat mengawal perasaan dan dibelenggu pelbagai perkara yang menekan fikiran,” katanya.

Kemurungan ini juga membuatkan sesetengah ibu tidak dapat menyusukan bayi kerana ada perasaan benci atau menganggap anak mereka cacat, walaupun hakikatnya ia dilahirkan sempurna atau melihat si kecil itu bukan anak sendiri.

Dr Nor Hamidah berkata, kehamilan yang tidak dirancang atau tidak dikehendaki juga boleh menjadikan wanita tertekan dan murung selepas bersalin.

Kajian menunjukkan hampir 70 peratus kehamilan yang berlaku adalah tidak dirancang dan ini meningkatkan risiko untuk mengalami kemurungan.

Bagaimanapun, budaya masyarakat kita tanpa mengira bangsa menganggap setiap anak sebagai anugerah dan sikap ini membantu wanita terhindar daripada masalah kemurungan postpartum. Ini juga sebabnya setiap pasangan disaran merancang keluarga — bukan sekadar memberi peluang anak membesar dengan baik, tetapi membolehkan isteri mendapat rehat secukupnya.

Wanita yang pernah menghadapi masalah skizofrenia juga berisiko tinggi mengalami kemurungan postpartum. Bagi kes sebegini, pesakit disaran supaya sentiasa mengambil ubat.

Bagaimanapun, pengambilan ubat dihentikan pada trimester pertama untuk mengelak kesan sampingan kepada bayi.

Rawatan

Menurut Dr Nor Hamidah, jenis rawatan tertakluk kepada keadaan setiap pesakit. Namun secara purata pesakit perlu menjalani rawatan dan mengambil ubat antara enam bulan hingga dua tahun. Pesakit akan diberi ubat anti kemurungan atau antipsikotik — tertakluk kepada masalah setiap individu.

Selain itu, sokongan suami boleh menjadi penawar. Justeru, beliau menyarankan setiap pasangan membuat persediaan mental dan fizikal sebelum merancang menimang cahaya mata.

Menjarakkan kehamilan sekurang-kurangnya dua tahun juga amalan baik untuk memberikan badan wanita pulih secukupnya selepas bersalin kali pertama.

“Suami harus bersedia memikul tanggungjawab. Turunlah ke dapur menyediakan makanan untuk isteri. Dalam keadaan hidup sekarang, tidak ramai ibu boleh datang menemankan anak mereka sepanjang tempoh berpantang. Sebagai persediaan, belajar ilmu keibubapaan.

“Suami juga perlu faham perubahan yang berlaku pada isteri. Jika berkemampuan, dapatkan pembantu untuk menjaga anak supaya isteri boleh berehat dan menenangkan fikiran. Mempelajari kaedah menangani tekanan juga boleh membantu masalah ini,” katanya.

Tuesday, January 26, 2010

Petua Orang Tua....

Bernanah jari disebabkan jarum,duri, dan tulang ikan

Ambil 3 sulur bawang merah lalu ditumbuk jangan sampai lumat.Kemudian bubuh 1 sudu besar minyak kelapa dan dibungkus dengan menggunakan daun pisang dan dipanaskan ke atas api.Apabila sudah agak panas, tampalkan ramuan tersebut pada tempat yang sakit dan dibalutkan dengan kain pembalut luka.Buatlah sebanyak 3 kali sehari.


Kunyit mengurangkan rabun mata
Sediakan 20 helai daun sireh dan satu oz kunyit dan keduanya diparut.Letakkan di atas penapis dan tuangkan air panas dan diperah.Minum air yang sudah ditapis itu satu gelas pada setiap hari.


Jerawat
a.Masukkan sebungkus daun teh (masih hijau) ke dalam air yang mendidih.Kemudian wap air teh itu dihadapkan ke muka.Buatlah sentiasa sehingga jerawat di muka anda hilang.
b.Kupaskan ubi kentang dan hiriskan nipis-nipis lalu segera ditampalkan pada muka dan biarkan sehingga ubi kentang itu kering.Amalkan sedemikian setiap hari.


Rambut beruban
Ambil biji buah betik daripada buah betik yang sudah masak sebanyak 2 sudu besar.Jemur biji betik itu sampai betul-betul kering.Kemudian digoreng sampai hangus (jangan guna minyak) serta disusuli dengan tumbuk biji itu sampai halus.Campur debu biji betik itu dengan minyak kelapa dan kacau sampai merata.Setelah rambut anda dicuci bersih, lumurkan ramuan itu pada bahagian kepala yang beruban, seelok-eloknya sewaktu hendak tidur.


Muka kasar dan berbintik-bintik hitam
Cari buah mentimum, diparut dan diperah lalu diambil airnya.Gunakannya untuk mencuci muka anda sewaktu hendak tidur.Boleh juga tempel atau tampalkan hampas mentimum itu ke wajah anda.Pada sebelah petangnya, mandi dengan air suam dan cuci muka anda berkali-kali dengan air suam.

Sunday, January 10, 2010

the beauty of the horse

the new novel for english literature form one...